Search

YAYASAN SULTAN IBRAHIM JOHOR, YAYASAN TEMASEK SUMB...

  • Share this:

YAYASAN SULTAN IBRAHIM JOHOR, YAYASAN TEMASEK SUMBANG MESIN OKSIGEN MUDAH ALIH KEPADA HOSPITAL, KLINIK KESIHATAN KERAJAAN

Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura secara berterusan menjalin usaha bersama dalam menjaga kesejahteraan serta kesihatan rakyat di Johor.

Pada hari ini (13 Mei), YSIJ bersama Yayasan Temasek sekali lagi menyampaikan sumbangan 50 unit mesin oksigen mudah alih untuk kegunaan di hospital dan klinik kesihatan kerajaan seluruh negeri Johor.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad yang juga wakil rasmi DYMM Sultan Johor dan YSIJ kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Ucapan penghargaan turut dizahirkan oleh Kerajaan Negeri kepada YSIJ dan Yayasan Temasek yang menyumbang pelbagai bantuan kepada hospital serta klinik kesihatan di seluruh Johor secara berterusan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata sentiasa menjadi hasrat DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam menitikberatkan aspek kesihatan dan kualiti rawatan perubatan kepada rakyat.

"Sumbangan ini dapat diagihkan kepada hospital dan klinik kesihatan seluruh Johor bagi menambah lagi keperluan serta mempertingkatkan aspek kualiti rawatan perubatan.

"Bagi pihak kerajaan negeri kami amat berbesar hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DYMM Sultan Johor dan Yayasan Temasek," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu berkata sumbangan mesin berkenaan akan diagihkan kepada hospital-hospital dan klinik kesihatan seluruh Johor mengikut keperluan.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada DYMM Sultan Johor dan Yayasan Temasek di atas sumbangan yang disampaikan pada hari ini," katanya.

#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor


Tags:

About author
not provided
His Royal Highness Major General Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, The Crown Prince of Johor.
View all posts